Translate

Monday 22 April 2013

Almy Nadia mencari lelaki budiman

DERITA yang ditanggung bukan sedikit. Segala perasaan bercampur-baur saat satu persatu ujian melanda diri. Tidak terlintas niatnya untuk mencari simpati lantas segala perasaan yang membelenggu disimpan jauh dalam lubuk hati. Kalau tidak punya kekuatan yang tinggi, mungkin sudah lama dia melupakan bidang seni. Namun perasaan sedih yang sering bertamu di biar jauh-jauh agar tidak terus menjadi perosak kepada kehidupan seharian. Insiden putus cinta dengan Fizz Fairuz sedikit masa lalu masih bersarang di hati. Enggan membuka rahsia terbesar yang disimpan tentang perkara tersebut, Almy Nadia lebih senang mengunci mulut daripada terus membicarakan perkara itu. Tidak ada apa lagi pintanya selain mahu perkara itu tidak terus dijadikan isu besar. Baginya setiap orang melakukan kesalahan dan sudah pasti sesiapa yang melalui perkara itu akan belajar sesuatu untuk memperbaiki diri pada masa hadapan. “Cukup-cukuplah tanya soal itu. Saya pun tak mahu lagi kenang apa yang sudah terjadi antara kami dulu. Apa yang penting saya mahu buka lembaran baru dan hidup gembira macam orang lain. “Saya anggap kes itu tak besar mana pun. Kalau nak tahu sebelum ini pun saya pernah menerima ujian yang lagi besar sampai buat saya rasa sakit sangat. “Bila Allah uji kita, itu tandanya Allah tetap sayang. Mungkin Dia nak uji kita dan nak kita kembali dekat dengan-Nya. Macam yang berlaku pada saya selama ini, saya rasa ini badai yang akan selalu datang dan buat saya tak lupa diri. “Jadi sebagai orang biasa saya kena kuat untuk tempuh dan hadapi apa juga rintangan. Mungkin saya menangis masa putus cinta tapi itu perkara biasa yang akan terjadi pada sesiapa juga. “Kena ingat satu perkara, ada orang yang simpati dengan nasib kita tetapi ada juga yang gembira bila tengok kita berduka," kata wanita berusia 27 tahun ini lagi. Melalui hari demi hari sebagai seorang wanita, Almy tidak dapat lari daripada perasaan dan naluri hatinya yang kadang kala bertentangan dengan apa yang keluar dari mulutnya. Cuma dia bertuah kerana masih bertahan dengan seribu satu ujian yang akhirnya membuatkannya menjadi wanita yang cukup tabah. Cinta ENGGAN mengulas mengenai spekulasi yang mengatakan dia sudah kembali intim dengan Fizz Fairuz, Almy mengambil pendekatan selamat dalam menjawab soal itu. Pinta Almy agar kisah tersebut tidak terus dimainkan sehingga menjadi isu besar memandangkan luka yang ditanggung baru sahaja pulih. “Sekarang saya takut nak komen apa-apa. Kalau nak cakap soal cinta, saya memang sedikit trauma sebab impaknya tetap akan terpalit kepada saya. “Ada juga orang tanya sama ada saya sudah membuka hati pada sesiapa selepas perkara itu. Kalau saya salah jawab, tak mustahil esok lusa kenyataan itu akan memakan diri seperti sebelum ini. “Kalau nak tahu saya sudah banyak belajar tentang perkara tersebut. Cukup-cukuplah apa yang telah berlaku selama ini. Ada ketika orang lain makan nangka, orang lain yang kena getah. Ini yang cuba saya elakkan," kias anak kelahiran Pulau Pinang ini. Bagi Almy, dia sebenarnya tidak cerewet untuk memilih lelaki yang secocok untuk dijadikan teman hidup. Langsung tidak terlintas untuk mencari lelaki kaya yang mampu menanggung hidupnya. Cukuplah dia menerima seorang lelaki budiman yang mampu menjaga hatinya. Tanpa berselindung, Almy sebenarnya mendambakan seorang lelaki yang jujur, ikhlas, setia dan hormat akan perhubungan yang mereka bina. Apabila semua elemen ini bersatu tidak mustahil cinta yang akan dibina kekal sampai ke akhir hayat. “Ini pengajaran buat kita semua juga. Kita berhak berkawan seramai mana sekalipun tetapi harapannya cinta itu tetap pada yang satu. Kalau kita ingat perkara ini, insya-Allah perhubungan itu akan berjalan seperti yang diidamkan. “Selain itu antara jujur dan ikhlas pun ada beza. Kita boleh menzahirkan kejujuran tetapi nak cari yang benar-benar ikhlas itu susah. Kita tak boleh menebak keikhlasan seseorang kerana itu berkait dengan hati budinya. “Mungkin orang yang akan mencintai saya selepas ini perlu belajar menghargai saya sebab apa yang akan jadi selepas ini kita tak tahu. Kita boleh merancang tapi Allah juga yang menentukan. “Tapi apabila berlaku satu perkara saya selalu muhasabah diri dan bertanya mana silapnya. Mungkin juga ada perbuatan sendiri yang anggap betul tapi sebenarnya tidak," luah Almy.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More