Translate

Thursday 9 May 2013

Scha, Awal saling melengkapi

Tanggal 4 Mei lalu, genap setahun ikatan perkahwinan selebriti popular, Awal Ashaari dan Scha Al-Yahya. Namun, sambutan ulang tahun pertama mereka bukanlah diraikan dalam satu majlis khas seperti kebanyakan selebriti lain. Bagi Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Norazean Syed Mahadzir, 30, baik dirinya mahupun Awal, mereka kurang gemar menyambut tarikh-tarikh tertentu. "Kami tidak mengamalkan sambutan dalam perkara-perkara sebegitu kerana tidak mahu ianya dijadikan sebagai rutin. "Saya lebih selesa sederhana dan tidak meletakkan waktu-waktu tertentu untuk meraikan bersama suami. "Jika ada rezeki lebih, Awal akan bagi hadiah dan begitu juga dengan saya tanpa menunggu tarikh itu. Namun, kami juga tetap meluangkan masa bersama untuk menikmati makan malam pada hari itu," katanya yang berharap agar rumah tangga yang dibina sentiasa diserikan dengan kebahagiaan. "Setiap pasangan mengimpikan rumah tangga yang bahagia dan perkara yang elok-elok. "Kami sama-sama berharap agar kedua-duanya mendapat apa yang diinginkan dalam kehidupan masing-masing. Begitu juga dalam hubungan suami isteri," katanya. Scha dan Awal mendirikan rumah tangga pada 4 Mei 2012 selepas bercinta selama tiga tahun. Bercuti ke Barcelona Menurut Scha, kesibukan jadual kerja membuatkan dia dan Awal sukar untuk meluangkan masa bersama. Namun, jika ada masa yang terluang, pasti akan diisi dengan aktiviti bersama. Pun begitu, Scha memberitahu, dia dan Awal ada membuat perancangan untuk bercuti di luar negara. "Insya-Allah, jika ada kelapangan, kami akan bercuti di Barcelona. Namun, sehingga kini masih belum ada tarikh yang sesuai. "Untuk pergi melancong, kami kena memastikan jadual masing-masing tidak terganggu. Saya tidak mahu percutian itu memberi masalah kepada komitmen kerja pula. "Mengikut perancangan asal, kami akan ke sana pada tahun ini. Jika tiada aral melintang, Insya-Allah, sampailah nanti," katanya yang bakal muncul dalam drama 24 episod di Astro Prima, Bila Hati Perempuan Menjerit dan telemovie untuk TV9, Sweet Lola. Percaya pada Awal Cuba menduga tahap kesangsian pada suami, Scha ketawa kecil dan nyata tidak cepat melatah walaupun ramai yang risau melihat Awal bergandingan bersama wanita lain menerusi lakonan. Malah, Scha mengakui dia sangat bertuah memiliki Awal kerana suaminya bukanlah lelaki yang sukar untuk dijaga. "Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang baik dan tidak banyak karenah. Malah, saya percaya pada Awal. "Sepanjang setahun usia perkahwinan, dia masih lagi Awal yang dulu dan tidak berubah apa-apa. "Dari segi lakonan pula, dia tahu menjaga batas-batas untuk bergaul bersama pelakon wanita dan saya tiada masalah dalam hal itu memandangkan saya juga pelakon," katanya yang memberitahu Awal kini turut sibuk dalam mengendalikan program terbaru di Astro Ria, Gadis M2. Belum fikir soal anak Di saat rakan-rakan artis teruja dengan kehadiran cahaya mata, Awal dan Scha masih lagi menanti 'orang baru'. Bukan tidak bersedia, namun akui Scha, mereka berhadapan dengan kekangan waktu untuk bersama. "Buat masa ini, kami masih sibuk dengan kerjaya masing-masing. Jadi, tidak pernah terlintas persoalan di fikiran kami mengenai anak. "Memang saya sudah bersedia untuk bergelar 'mummy', namun saya harus akur dengan kesibukan kerja kami. "Malah, saya tidak risau kerana ia baru tahun pertama dan ia peratusan normal jika masih belum punyai zuriat. Pun begitu, saya tidak menolak sekiranya ada rezeki," kata pelakon filem, Awan Dania The Movie, ini. Dipilih untuk mengendalikan program carta lagu tempatan popular, Muzik Muzik musim ke-28 bersama AG, Scha mengakui rancangan itu berjaya meningkatkan kemahirannya dalam bidang pengacaraan. "Sebelum ini, saya memang ada niat untuk menceburi bidang pengacaraan pada tahun ini. "Alhamdulillah, hasrat saya untuk mencuba bidang pengacaraan sudah tercapai. Pun begitu, saya masih lagi belajar untuk memperbaiki kelemahan. "Saya akui, tugas pengacaraan rancangan ini bukanlah perkara yang mudah. Namun, saya akan cuba sebaik mungkin untuk menghiburkan penonton di setiap minggu," katanya yang kini bukan lagi, Wajah Eksklusif Astro. Tambah Scha, Muzik-Muzik 28 adalah program pertamanya bersama Media Prima Berhad setelah kontraknya bersama Astro sudah tamat.


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More