Translate

Monday 24 June 2013

32 Peserta 'Black 505' Termasuk Tiga Wanita Ditahan Polis


demonstrasi
Peserta demonstrasi berbaring di atas bahu jalan tanda bantahan terhadap SPR di hadapan bangunan Parlimen 

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Badrul Hisham Shaharin dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim adalah antara 32 peserta 'Black 505' termasuk tiga wanita yang ditahan polis kerana merempuh kawalan polis di pintu masuk bangunan Parlimen hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata tindakan peserta perhimpunan haram itu juga menyebabkan beberapa pegawai dan anggota polis cedera.

"Seorang pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul cedera di mata kanan dan hidung manakala seorang anggota polis IPD Dang Wangi patah gigi hadapan, terseliuh ibu jari dan tangan kiri.

"Beberapa anggota polis yang membuat kawalan juga mendapat cedera ringan," katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook Polis Kuala Lumpur.

Beliau berkata kejadian itu berlaku kira-kira 11.30 pagi tadi ketika polis membuat kawalan di laluan pintu masuk ke bangunan Parlimen sempena upacara mengangkat sumpah 222 anggota Dewan Rakyat bagi Penggal Pertama Parlimen ke-13.

Mohmad berkata kira-kira 200 peserta perhimpunan itu juga membuat provokasi dengan membaling botol air, telur dan menyimbah cat terhadap anggota polis yang bertugas.

Namun, katanya polis dapat mengawal keadaan tersebut daripada terus berlaku.

"Polis Kuala Lumpur akan terus membuat kawalan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan terjamin," katanya.

Pada upacara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga anggota Parlimen Pekan mengetuai angkat sumpah bagi 132 anggota Dewan Rakyat mewakili Barisan Nasional (BN).

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) pula mengetuai angkat sumpah anggota Dewan Rakyat mewakili gabungan pembangkang PKR-Pas-DAP. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More