Mahkamah Majistret Kuala Berang semalam menjatuhkan hukuman sebulan penjara dan denda RM3,000 ke atas seorang warga Bangladesh beranak dua selepas mengaku bersalah terhadap dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita.
Majistret Abdul Hayyi Salim memerintahkan hukuman ke atas Samid Abdur Rob, 32, dilaksanakan mulai tarikh ditangkap 24 Jun lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang bekerja sebagai buruh di sebuah kilang papan didakwa memeluk mangsa berusia 27 tahun dari arah belakang dan meramas kedua-dua belah payu dara mangsa.
Mangsa berasal dari Felda Mengkawang, Ajil, cuba melepaskan diri dengan bertindak meronta-meronta dan selepas berjaya, wanita berkenaan membuat laporan di balai polis Ajil pada hari sama kejadian berlaku.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat atau denda atau mana-mana dua hukuman jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, setelah rayuan dibuat kerana tertuduh yang diwakili peguam Mohd Hayyatuddin Mohamed dan Azwan Roslee, mempunyai tanggungan terhadap isteri, anak-anak yang berusia lingkungan lapan hingga 11 tahun serta kedua ibu bapanya di Bangladesh, hukuman ke atasnya diringankan.
0 comments:
Post a Comment